Cermin Ajaib

Aku, cermin, masa depan dan masa lampau.

9/19/20265 min read

Aku tidak pernah benar-benar terfikir untuk menulis tentang cermin. Cermin bagi aku hanyalah cermin. Ia ada di dalam bilik tidur, di dalam tandas, di kedai pakaian dan di tempat-tempat lain yang memerlukannya. Aku melihat cermin hampir setiap hari. Tetapi selama ini aku hanya melihat apa yang dipantulkannya. Aku nampak muka, rambut, baju dan tubuh aku. Itu sahaja. Aku tidak pernah terfikir bahawa di sebalik apa yang dipantulkan itu, sebenarnya ada banyak perkara lain yang boleh dilihat dan dirasai.

Namun, satu ketika aku sedang menyiapkan tugasan pelajaran, aku disuruh untuk melawat mana-mana galeri seni untuk mencari satu objek seni dan menceritakan pengalaman dan perasaan terhadap seni tersebut. Banyak karya seni yang aku jumpa, namun tiba-tiba aku terlihat sebuah cermin yang bersandar pada dinding berwarna putih. Ia terletak di tingkat paling atas. Di dalam bilik pameran ini, ia kelihatan tidak menonjol, sederhana, murung, pendiam dan introvert; berdiri sendirian tanpa ditemani barangan kosmetik seperti gel rambut, losen dan krim. Ia kelihatan tidak berguna seperti seorang graduan baharu yang sedang menunggu tawaran istimewa.

Aku seolah-olah dipanggil olehnya. Dari jauh, ia hanyalah sebuah cermin biasa yang menjalankan fungsi biasa. Namun, apabila langkahku semakin menghampiri, aku tenggelam dalam kebingungan dan mula bertanya kepada diri sendiri: adakah cermin ini sekadar sebuah cermin atau sebuah hasil karya seni?

Jika ini hanyalah cermin biasa, siapakah pemiliknya? Siapakah yang meninggalkan benda ini di dalam bilik ini? Jika ia dianggap sebagai karya seni, siapakah senimannya? Kalau dibiarkan dalam bilik pameran, mungkin cermin ini sememangnya seni. Tapi aku terfikir, apa yang ‘seni’ dalam cermin dan apa yang membuatkan cermin itu menjadi seni?

Cermin sebagai pelukis yang sangat jujur

Cermin tidak memilih untuk memuji kita. Ia tidak cuba menjadikan kita lebih cantik daripada keadaan sebenar. Ia hanya memulangkan apa yang berada di hadapannya. Kalau rambut kita tidak kemas, ia menunjukkannya. Kalau baju kita tidak sesuai, ia tidak menyembunyikannya. Kalau wajah kita kelihatan letih, ia tetap menunjukkannya.

Kalau kita sedih, cermin akan menunjukkan bahawa kita memang sedih walaupun sehabis baik kita cuba menyembunyikan perasaan itu. Kalau kita tidak yakin, cermin mampu menunjukkan riak wajah bahawa kita memang kelihatan tidak yakin, takut dan risau. Mungkin kejujuran inilah yang melahirkan ayat, “Cermin dulu diri kau.”

Ia tidak mempunyai alasan untuk menipu. Apa yang diberikan kepadanya, itulah yang dipulangkannya. Kadangkala kejujuran itu menyenangkan, kadangkala ia membuatkan kita berhenti seketika. Ada masanya kita bertanya kepada cermin, “Aku nampak okay tak hari ini?” “Aku boleh berjaya ke?” “Aku hensem macam orang lain ke?” Dan ada masanya kita sendiri tidak begitu suka dengan jawapan yang diberikan. Tetapi mungkin itulah keistimewaan cermin. Ia jujur tanpa perlu bercakap.

Namun, kejujuran cermin tidak semestinya membuatkan kita rasa buruk tentang diri sendiri. Kadang-kadang, selepas melihat diri sendiri, kita menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan dunia.

Cermin sebagai seniman yang menyokong

Pada masa yang sama, cermin boleh menjadikan aku lebih yakin. Aku melihat diri sendiri sebelum keluar rumah, menyisir rambut, merapikan baju dan melihat semula keseluruhan penampilan. Perkara itu nampak kecil, tetapi ada sesuatu yang berlaku selepas itu. Aku keluar dari rumah dengan sedikit lebih yakin kerana aku telah melihat diri sendiri dan bersedia untuk berhadapan dengan dunia.

Cermin di bilikku sudah berkata aku boleh berjaya. Cermin di hotel berkata aku hensem. Ia juga seolah-olah berkata aku boleh melakukan yang terbaik. Cermin bukan sekadar menunjukkan bagaimana aku kelihatan. Kadangkala ia membantu aku menentukan bagaimana aku mahu melihat diri sendiri, dengan merenung sedikit, menilai dan menghukum penampilan aku, sama ada dari segi fizikal atau batin. Cermin boleh berkata aku yang paling terbaik di dunia, dan boleh juga berkata aku paling hensem di dunia.

Kadang-kadang selepas aku mandi dan memakai baju, kalau tidak melihat cermin seperti tidak sah. Perasaan yakin itu seperti belum lengkap kerana belum disahkan oleh cermin. Kadang-kadang aku rasa aku perlu meminta izin atau mendapatkan kebenaran daripada cermin sebelum aku keluar. Kalau aku kelihatan okay, aku pasti yakin. Mungkin sebab itu kita tidak hanya melihat cermin untuk mengetahui bagaimana rupa kita. Kita melihatnya untuk mendapatkan sedikit sokongan sebelum berhadapan dengan orang lain. Tetapi cermin tidak mengambil masa yang lama untuk memberikan sokongan itu. Ia hanya memerlukan satu saat untuk menunjukkan keseluruhan diri kita.

Cermin sebagai pelukis yang pantas

Pelukis biasa memerlukan masa dan buah fikiran untuk menghasilkan sebuah lukisan. Mereka memilih subjek, menyediakan bahan, mencampurkan warna dan membina imej sedikit demi sedikit. Cermin pula hanya memerlukan satu saat. Kita berdiri di hadapannya, dan sebuah gambar terus muncul. Tiada proses yang panjang. Tiada warna yang perlu dicampur. Tiada berus yang perlu digerakkan. Dalam sekelip mata, cermin melukiskan kita bersama pakaian, wajah, tubuh, ruang dan keadaan di sekeliling kita. Dalam sekelip mata juga, cermin boleh menghasilkan seni yang terbaik, iaitu diri kita sendiri!

Yang menariknya, lukisan itu tidak pernah benar-benar sama. Aku boleh berdiri di hadapan cermin pada hari ini dan melihat seseorang yang berbeza daripada orang yang kulihat semalam. Bukan kerana cerminnya berubah, tetapi kerana aku yang berubah. Rambut mungkin lebih panjang, wajah mungkin lebih letih, pakaian mungkin berbeza, tubuh mungkin berubah dan ekspresi juga tidak pernah sama. Cermin hanya melukis apa yang ada pada saat itu.

Tetapi apabila aku fikir semula, mungkin cermin tidak hanya melukis apa yang ada pada saat ini. Lukisan yang muncul di hadapan kita juga boleh membawa kita kepada masa depan dan masa lampau.

Kadang-kadang kita nampak masa depan kita lebih cerah di hadapan cermin berbanding di tempat lain. Badan yang kurus berdiri di depan cermin terasa seperti sado, ada muscle, Nampak tinggi berbanding kawan-kawan yang lain. Diri yang kecil ini pula rasa akan berjaya satu hari nanti dengan mencapai cita-cita yang diinginkan. Hari ini kita berdiri di depan cermin dan berjanji, sepuluh tahun lagi aku akan menjadi seorang...

Cermin melukis masa depan

Aku akan jadi arkitek.

Pensyarah.

Pelakon.

Ahli budaya.

Sasterawan.

Pereka fesyen.

Orang lain kata kau tidak boleh, tetapi cermin kata aku boleh.

Masa depan aku semakin cerah apabila aku mendengar lagu yang seakan-akan membangkitkan semangat. Cermin menjadi tempat aku membayangkan siapa aku pada masa hadapan, walaupun pada saat itu aku masih belum menjadi sesiapa.

Tetapi kalau cermin boleh membuatkan kita membayangkan masa depan, cermin juga boleh membawa kita kembali kepada masa yang sudah berlalu.

Cermin melukis masa silam

Ada kala kita meluangkan masa di hadapan cermin terlalu lama dengan memikirkan masa lalu kita. Ini selalu berlaku di dalam bilik tidur dan juga bilik air. Aku tidak melontarkan satu ayat pun untuk meluahkan atau menceritakan perkara yang sudah berlaku, tetapi dengan melihat wajah dalam cermin sahaja, ia sudah cukup untuk aku berinteraksi dengan waktu silam.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh lari daripada rasa kesal. Ada perkara yang kita tidak boleh undur. Apabila kita melihat cermin, ia seolah-olah memberi peluang kedua kepada kita untuk mengundur masa dan tidak melakukan sesuatu perkara yang membuatkan kita menyesal.

Dalam saat kecewa, kita seolah-olah sedang bertanya kepada cermin:

Kenapa aku buat itu dan ini?

Kalau aku buat begini, apa pula akan jadi?

Kenapa aku membalas percakapan dia? Kenapa aku tidak diam sahaja?

Kenapa aku tidak belajar bersungguh-sungguh?

Kenapa aku balik lewat semalam? Kan hari ini aku dah penat?

Terlalu banyak soalan yang ditanya seolah-olah kita sedang berada di mesin masa.

Cermin juga boleh melukis masa silam melalui kesedaran kita terhadap perkara-perkara kecil. Contohnya, topi yang aku pakai ketika berada di galeri tersebut. Aku memakai topi kelabu yang telah kubeli beberapa tahun lalu, mungkin pada tahun 2018. Jarang sekali aku ingin mengimbas kembali pengalaman ketika membeli topi tersebut. Ketika berhadapan dengan cermin ini, tiba-tiba ia mencipta satu ruang baharu untukku menyedari topi yang sedang kupakai. Ia membawaku kembali kepada peristiwa ketika aku mengunjungi Timberland di Genting Premium Outlet, sebuah tempat yang sejuk, tempat topi ini berada sebelum menjadi milikku.

Topi itu kelihatan sesuai denganku di dalam cermin. Ia membuatkan aku berasa gembira kerana telah membuat keputusan yang tepat untuk memilih topi tersebut. Jika cermin ini tidak memantulkan apa-apa tentang diriku, mungkin aku tidak benar-benar menyedari topi yang sedang kupakai. Rupanya, satu pantulan yang hanya mengambil masa satu saat boleh membawa aku bertahun-tahun ke belakang.

Dah!

Jauh betul aku mengelamun tentang cermin ini.

Mungkin apa yang telah aku ceritakan tadi ialah sebab mengapa cermin yang aku lihat itu diletakkan di dalam bilik pameran.

Ya, sesungguhnya cermin merupakan seorang ahli seni yang hebat.

Ia boleh menjadi pelukis yang jujur. Ia boleh menjadi seniman yang menyokong. Ia boleh melukis diri kita dalam masa satu saat. Ia boleh membawa kita melihat masa depan dan mengingat kembali masa silam.

Selama ini aku fikir aku melihat cermin. Rupanya, cermin juga membuatkan aku melihat diriku sendiri. Aku tengok cermin, dan aku tengok aku!

© 2026. sentuhanzulkarnaen. All rights reserved.